Nama
"Kelantan" dikatakan pencemaran daripada perkataan "gelam
hutam", iaitu nama Melayu bagi pokok Melaleuca leucadendron. Ada juga yang
mengatakan bahawa namanya datang daripada perkataan "kilatan" atau
"kolam tanah". Selain itu Negeri Kelantan juga dikenali dengan nama
Tanah Serendah Sekebun Bunga, Tanjung Pura, Negeri Cik Siti Wan Kembang dan
Serambi Mekah pada masa dahulu.
Sejarah
awal Kelantan tidak begitu jelas, tetapi temuan arkeologi menunjukkan kesan
petempatan manusia di zaman prasejarah. Kelantan awal mempunyai perhubungan
dengan Empayar Funan, Empayar Khmer, Srivijaya dan Siam. Kira-kira 1411, Raja
Kumar, raja Kelantan, membebaskan negeri itu dari Siam. Beliau memakai gelaran
Sultan Iskandar Shah apabila memeluk Islam. Kelantan kemudian menjadi sebuah
pusat perdagangan yang penting pada akhir abad ke-15.
Pada 1499,
Kelantan menjadi negeri dibawah Kesultanan Melaka. Dengan kejatuhan Melaka pada
1511, Kelantan dibahagikan dan diperintah oleh ketua-ketua kecil. Dengan
ancaman oleh Siam pada 1603, kebanyakan ketua kecil Kelantan bernaung di bawah
Persekutuan Pattani Besar. Kerajaan pusat di Pattani membahagikan Kelantan
kepada 4 wilayah iaitu Kelantan Timur, Kelantan Barat, Legeh dan Ulu Kelantan.
Kira-kira 1760, seorang putera raja Kelantan Barat berjaya dalam penyatuan
wilayah Kelantan sekarang. Tidak lama kemudian, pada 1764, Long Yunus iaitu
putera raja Kelantan Timur, anak Long Sulaiman berjaya merampas takhta kerajaan
dan mengisytiharkan diri sebagai Raja Kelantan. Walau bagaimanapun, dengan kemangkatannya,
Kelantan dipengaruhi oleh Terengganu.
Pada
1800, Raja Muhammad mengisytiharkan diri sebagai sultan pertama Kelantan. Pada
1812, baginda melepaskan diri daripada pengaruh Terengganu dan menjadi negara
ufti Siam yang berasingan. Pada 1820-an, Kelantan merupakan salah satu daripada
negeri yang terbanyak penduduk serta termakmur di Semenanjung Tanah Melayu
kerana berjaya mengelakkan perang dan pertikaian yang menimpa negeri-negeri di
selatan dan barat. Siam terus memainkan peranan yang mustahak di Kelantan pada
seluruh abad ke-19.
Di bawah
syarat Perjanjian British-Siam pada 1909, Siam menyerahkan tuntutan Kelantan,
Terengganu, Kedah dan Perlis kepada Britain, dan Kelantan menjadi salah satu
daripada Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu di bawah Residen British.
Kelantan
merupakan tempat pertama di Malaya yang ditakluk oleh Jepun yang menyerangnya
pada 8 Disember 1941. Semasa pendudukan Jepun, Kelantan sekali lagi dikawal
oleh Siam, tetapi selepas kekalahan Jepun pada Ogos 1945, Kelantan kembali
kepada pemerintahan British.
Kelantan
menjadi sebahagian Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 dan
bersama-sama dengan negeri lain, mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Pada
16 September 1963, Kelantan menjadi salah satu daripada negeri-negeri yang
membentuk Persekutuan Malaysia.
Semua gambar di atas diambil dari google.image
No comments:
Post a Comment