Dasawarsa ini, penggunaan Bahasa Melayu di mana-mana institusi pengajian tinggi pasti akan mengutamakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa akademik kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa yang digunakan di seluruh dunia. Namun, masyarakat sering lupa bahawa Bahasa Melayu merupakan lingua franca yang menjadi bahasa perantaraan, bahasa perhubungan, dan bahasa pergaulan antara masyarakat atau orang yang berlainan bahasa di seluruh dunia juga.
Fokus utama yang akan dibincangkan adalah berkenaan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan mahasiswa di universiti-universiti tempatan. Beberapa buah universiti tempatan telah menempatkan mahasiswa yang mengikuti program pengkhususan Bahasa Melayu. Sehubungan itu, senario yang dapat dilihat adalah para pelajar Bahasa Melayu pasti akan menjadi pusat rujukan para pelajar daripada pengkhususan lain dalam penggunaan Bahasa Melayu semasa membuat tugasan, pembentangan dan sebagainya. Kebanyakan masyarakat beranggapan para pelajar pengkhususan Bahasa Melayu paling pakar dalam Bahasa Melayu terutama dari segi aspek penggunaan kosa kata dan mampu menggunakan Bahasa Melayu yang lebih baik dalam apa-apa sahaja perkara.
Selain itu, tidak ketinggalan juga para pensyarah di fakulti lain turut merujuk para pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu bagi menyemak penggunaan ayat yang betul dan sebagainya. Contoh yang dapat dilihat adalah mereka sering meminta bantuan daripada para pensyarah Jabatan Pengajian Melayu untuk menyemak dan menyunting berbagai-bagai tugasan mereka terutama yang menyambung pelajaran dalam Master atau PhD.
Namun, timbul usaha Jabatan Pengajian Melayu sebulat suara mewujudkan Persatuan Bahasa Melayu bagi menggalakan mahasiswa mengasah bakat mereka dalam Bahasa Melayu dan bersama-sama mengadakan program bagi memartabatkan lagi Bahasa Melayu dalam kalangan mahasiswa universiti. Objektif persatuan ini ditubuhkan bertujuan mendidik mahasiswa agar menjadi warga berjaya dan bermaruah serta memperkasakan bahasa dan sastera kebangsaan.
Usaha lain adalah Dewan Bahasa dan Pustaka turut mengadakan pelbagai program memartabatkan bahasa Melayu seperti bengkel penulisan kreatif, bengkel syair, pertandingan pantun dan sebagainya. Aktiviti sebegini biasanya dijalankan semasa Bulan Bahasa Kebangsaan pada bulan Oktober setiap tahun.
Diharapkan usaha-usaha sebegini dapat menggalakan lagi mahasiswa universiti memperluas kosa kata dan menceburi diri dalam bidang bahasa Melayu untuk mepertahankan warisan bangsa kita.
Sumber : Google Image
No comments:
Post a Comment